Sunday, February 17, 2008

Peristiwa Manis

Sekolah Melayu Ganchong

Saya belajar di Ganchong sehingga Darjah Enam, iaitu darjah yang tertinggi yang ada di sekolah kampung kami waktu itu. Darjah Enam di Ganchong ini baharu dua tahun dibuka. Sebelum ini murid-murid Ganchong yang hendak menyambung persekolahannya di Darjah Enam kenalah pergi ke Tanjung Medang. Abang Othman pernah bersekolah di situ menumpang di rumah orang. Jarak antara Ganchong dengan Tanjung Medang tidak berapa jauh, tetapi Tanjung Medang terletak di tebing sebelah sana Sungai Pahang. Kalau hendak ke sana terpaksa berjalan ke Pulau Rusa kemudian menyeberang dengan perahu. Cara yang lain ialah menyeberang ikut Pulau Ganchong dan berjalan kaki atau menumpang basikal orang ke Tanjung Medang. Pada masa itu perkhidmatan bas masih belum ada.

Apabila dibuka Darjah Enam, guru sekolah pun ditambah. Cikgu ZAKARIA bin ZAINAL yang mengajar di sini dulu berpindah ke Tanjung Medang, menjadi Guru Besar. Guru Besar baru kami ialah Cikgu MUHAMMAD bin MAN, menggantikan Cikgu MOHD. YUSOF bin DAHALAN. Guru Darjah Enam kami ialah Cikgu ABU BAKAR bin SHARIFF. Dia berasal dari Air Putih, Kuantan. Isterinya orang Kampung Marhum bernama Puan ZAITON, yang merupakan seorang suri rumah. [Salah seorang anak mereka ialah Allahyarham Penyanyi NORSEHA – yang dikenali dengan SEHA]. Cikgu Abu Bakar ini seorang sportsman, dan hujung minggu beliau kerap ke Pekan (atau entah ke mana) berlawan bola. Kadang-kadang hari Isnin beliau tidak mengajar. Kadang beliau masuk kelas dengan terhencot-hencot kerana kakinya sakit akibat bermain bola. Sebelum ini ada Cikgu KHALID ABU BAKAR dan Cikgu ABDUL GHANI ALI (orang Negeri Sembilan) yang bertukar dari sekolah ini. Cikgu Khalid khabarnya bertukar ke SK Luit atau Bawang di Maran dan beliau khabarnya sangat ditakuti oleh orang-orang Komunis yang ramai di sana kerana ilmu batinnya yang begitu ampuh. Cikgu Ghani pernah memberikan Encik mata taut kerana Encik selalu memberi dia ikan baung yang sangat digemarinya. Anak angkat Cikgu Ghani yang bernama ABDUL LATIF bin WAHAB sempat dengan saya di SITC. Beliau masuk Kolej atas kouta Pahang walaupun beliau belajar di Negeri Sembilan. Setelah tamat beliau ditempatkan di Pahang dan tidak lama kemudian beliau bertukar ke Negeri Sembilan pula.

Cikgu Abu Bakar kerap membawa beberapa majalah untuk kami baca. Biasanya membaca majalah ini dilakukan di anjung hadapan Ofis Penghulu, iaitu pada suatu tempat kosong yang seolah-olah untuk dijadikan mahkamah. Keliling ruang itu dibuat jeriji kayu empat segi setelus-telus kepala budak kecil. Kepala kami tidak telus, jadi tidak bolehlah kami keluar ikut jeriji itu. Walau bagaimanapun, suatu hari AHMAD JOHAR bin YUSOF (lihat Tinggal Kenangan II) semasa pelajaran NYANYIAN, menerakkan kepalanya di celah jeriji dan ... pusy! Kepalanya terlepas ke luar. Puas dia menarik balik tetapi tidak boleh. Dia terus meronta-ronta yang menyebabkan usaha menarik keluar semakin sukar. Habis ikhtiar, dia menangis: daripada keadaan tidak sakit bertukar menjadi sakit. Cikgulah yang menolong mengeluarkan kepala Johar dengan menyuruhnya menarik perlahan-lahan.

Semasa Cikgu MUHAMMAD bin MAN menjadi Guru Besar beliau membuat papan kenyataan berwarna hijau tua dan ditulis di atasnya dengan cat putih dalam tulisan jawi nama murid-murid Ganchong yang bersekolah di sekolah Inggeris. Pertama dalam senarai ialah ABU BAKAR bin ZAINAL yang pada masa itu telahpun bekerja sebagai Pegawai Rendah Pejabat Kesihatan, berkahwin dengan Puan MAHIMON binti HARON seorang guru di Claudian Institute Kuantan, kemudiannya bertukar kerjaya sebagai ahli politik dan menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri dan Senator. Antara anak mereka ialah Bragidier (U) ABDUL KADIR yang menerima latihan sebagai juruterbang helikopter di Perancis. Yang kedua ialah TENGKU ALI SHAHADAN ENDUT, dan seterusnya ABDUL MUMMID @ ABDUL HAMID bin MUHAMMAD, diikuti seterusnya oleh AHMAD JOHAR bin YUSOF, MOHD. ALI bin KASSIM (anak Tuk Penghulu), SARIMAH binti AHMAD (anak saudara sepupu saya yang kemudiannya menjadi bintang filem pujaan ramai), TENGKU IBRAHIM bin TENGKU ENDUT, dan ABDUL RAZAK bin MUHAMMAD (anak Cikgu Muhammad sendiri). Di kalangan mereka ini, ABDUL HAMID (yang kami sekampung memanggilnya MUMMID) merupakan seorang murid yang paling cerdik. Bapanya telah lama meninggal dan dia tinggal bersama-sama ibu dan kakaknya di Ganchong Ulu. Kakaknya AINON binti MUHAMMAD belajar sekelas dengan saya, juga seorang murid pintar tetapi tidak berpeluang meneruskan pengajiannya, apatah lagi setelah beliau berkahwin dengan sepupunya ZAKARIA bin OMAR, seorang guru. ABDUL MUMMID berjaya hingga melanjutkan ke Form Sixth di Victoria Institution, Kuala Lumpur dan seterusnya ke University of Melbourne, Australia dalam bidang Ekomomi. Dialah anak Ganchong yang mula-mula sekali belajar ke luar negeri, yang kemudiannya diikuti oleh AHMAD KHAN ZAINUDDIN bin SAID (anak saudara sepupu saya juga) ke University of Wales Institute of Science and Techology (UWIST) dalam bidang Kejuruteraan Elektrik dan kemudiannya kursus Sarjana Sains dalam bidang Sounds and Vibrations di University of Southampton; setelah berkhidmat sebagai Jurutera Elektrik dengan JKR beliau menjadi Pensyarah dan Profesor Madya di UTM Jalan Semarak dan Sekudai. Tengku IBRAHIM (keluarganya tinggal di Pulau Ganchong) selepas tamat dari ITM Shah Alam, melanjutkan pengajian dalam bidang Veterinar di University of Massachusettee USA tetapi sepanjang yang saya tahu beliau langsung tidak bekerja dalam bidang kepakarannya ini. Abdul Razak (Dol) pernah bekerja dengan DARA dan telah mendapat latihan khas di Manila, Filipina. [Pada 23 Februari 2008 ini di dalam majlis kenduri perkahwinan anak ABDUL WAHAB bin SULAIMAN (Ayah Dol) di Puteri Inns Rompin tanpa disangka-sangka saya bertemu dengan ABDUL RAZAK dan ABDUL MUMMIT. Saya pada mulanya tidak dapat mengecam Abdul Mummit, tetapi mengenali benar Abdul Razak. Kami sempat menceritakan kisah-kisah lama sehingga hampir-hampir melupakan keenakan juadah hidangan istimewa majlis itu. Mummit, katanya kini menetap di Johor Bahru sementara Razak di Muadzam Shah]. SARIMAH, yang juga seorang pelajar yang cerdas dan bijak, tidak dapat meneruskan pengajiannya kerana berkahwin dengan ZULKEFLI bin Haji MUHAMMAD dan seterusnya menceburkan diri dalam bidang lakonan dan perfileman selepas berhijrah ke Jalan Ampas, Singapura.

Berbalik kisah Cikgu Abu Bakar, majalah yang beliau suruh kami baca ialah Hiburan, Sinaran, Mutiara dan Mestika. Itulah baru pertama kali kami melihat majalah itu. Saya masih ingat, gambar kulit majalah Hiburan yang pada tangan saya hari itu ialah Ribut Rawit. Saya bertanya kepada Cikgu Abu Bakar tentang mengapa nama orang itu luar biasa benar bunyinya. Beliau menyatakan Ribut Rawit itu ialah orang Indonesia dan dia seorang penyanyi yang terkenal. Majalah Sinaran yang diterbitkan oleh Sentosa Press Kuala Pilah menerbitkan rencana mengkritik Dato’ Onn. Saya membaca artikel itu tetapi tidak ingat apa isu yang dikritiknya.

Pada suatu hari Cikgu Abu Bakar mencadangkan kami membeli atlas seorang sebuah untuk kegunaan belajar Ilmu Alam. Harga atlas itu kalau tak salah $4.50 sen. Siapa yang mahu beli boleh, tapi kalau tiada duit tak mengapa. Sebahagian besar kami membayar harga atlas itu setelah berhempas-pulas mengecek ibu bapa masing-masing wang sebanyak yang diperlukan. Seingat saya atlas itu tidak pernah kami terima, sehinggalah kami tamat Darjah Enam. Ya Allah, saya telah lama menghalalkan wang itu.

Dalam tempoh itulah juga datang Cikgu OTHMAN bin ISMAIL, orang Kampung Teluk, Pulau Rusa yang baharu tamat dari SITC. Cikgu Othman berkahwin dengan RAJMAH binti IBRAHIM, anak Ayah Chik Haji IBRAHIM, seorang guru agama di Pulau Rusa, yang masih ada pertalian keluarga dengan kami mengikut jurai sebelah bapa. Cikgu Othman ini mengajar Ilmu Hisab di samping mata pelajaran Senaman dan Kesihatan. Adik beliau ABDUL HAMID bin ISMAIL merupakan rakan sekelas di Ganchong, kemudiannya sama-sama pula di Kuantan dan mendiami asrama yang sama di SITC.

Semasa belajar di SM Ganchong kami terpaksa membersihkan sendiri kawasan sekolah. Sekolah tidak mempunyai sama ada tukang kebun apatah lagi tukang sapu. Untuk tugas ini, murid-murid besar (istilah besar ialah murid Darjah Tiga hingga Darjah Enam) dikehendaki membawa parang ke sekolah untuk menebas rumput di padang atau di kawasan taman. Parang itu mestilah diasah tajam. Inilah masalah besar saya: Emak tidak berapa berkenan saya membawa parang tajam, takut saya luka; sebaliknya memberi saya sebilang parang lading yang payah tajam jika diasah. Orang yang parangnya paling tanam ialah MAHAT bin SIDEK (pangkat cucu saudara sepupu saya, sedangkan umur kami hampir sebaya). Suatu hari ketika balik sekolah Mahat mencuba parang tajamnya dengan mengerat beberapa batang anak pisang Pak Cik Aman yang tinggal dekat sekolah. Pak Cik Aman tahu hal ini dan melaporkan hal itu kepada Guru Besar. Saya tidak ingat sama ada Mahat dihukum atau tidak di atas keterlanjurannya ini. Anak pisang yang dipancas itu bagaimanapun menyurung semula sehari dua kemudian.

Ketika balik dari sekolah kami berjalan beramai-ramai mengikut jalan denai kampung. Biasanya jikalau terasa dahaga kami terus sahaja berlari ke jamban (bukan toilet, tetapi istilah kami bagi tempat mandi-manda di sungai yang dibuat daripada dua tiga batang balakatau beberapa batang buluh dan di atasnya diletakkan papan dan satu kubikal tempat berlindung ketika berkada hajat) dan terus menjunamkan muncung ke dalam sungai meminum air, seperti kebiasaan unta minum! Perbuatan ini dilarang oleh orang tua, tapi kami buat juga. Emak kata, kalau nak minum air di sungai cedok dengan kedua-dua telapak tangan. Kalau minum macam unta itu tadi nanti perut menjadi buncit. Saya memang takut dan tidak suka berperut buncit. Anehnya, meminum air sungai begitu tidaklah pernah kami diserang sakit perut, diarrheoa atau sejenisnya. Mungkin antibodi kami cukup kuat atau air Sungai Pahang memang mengenali sangat dan sayangkan kami anak-anak yang tinggal di kiri kanan tebingnya itu. Kami kerap juga singgah di bangsal hembus Ayah Ngah Mamat (Haji Muhammad) atau Pak Busu Kemaman, menolong mereka menarik hembusan yang menyalakan arang pembakar besi. Kerja ini bukan kerana hendak menolong sangat kedua-dua tukang besi itu, tetapi yang terutamanya kami berkenan melihat api yang marak menyala ketika taran hembus disurung dan ditarik. Berkenan ada, seronok ada, pelik pun ada!

Pada masa itu, selepas bersekolah sesi pagi murid dikehendaki bersekolah agama pada waktu petang. Kelas ini dipanggil Sekolah Quran. Kami diajar al-Quran termasuk tajwid di samping fikah dan sejarah. Buku teks yang digunakan ialah Taalimu al-Sobiyan terbitan Pejabat Agama Pahang. Buku itu kami kena beli tetapi harganya sangat murah: entah berapa sen sahaja. Kehadiran di sekolah ini tidak dipaksa, tetapi kedatangan dicatat di dalam jadual kedatangan. Oleh sebab guru agama itu tinggal di Tanjung Batu, kebanyakan yang hadir ialah murid dari Tanjung Batu. Tiada seorang pun murid Ganchong Ulu dan Ganchong Tengah. Murid dari Kiambang ada beberapa orang dan saya ialah salah seorang daripadanya.

Guru Quran kami ialah Maalim NAWAWI bin LAMBAK. Encik saya kenal baik dengan beliau, dan ini menyebabkan saya tidak berani langsung ponteng atau bermalas-malas; sehingga akhirnya hanya saya seorang sahaja orang Kiambang yang mengaji Sekolah Quran Ganchong itu, yang lain orang Tanjung Batu belaka. Orang Ganchong Ulu, Ganchong Tengah ada tuk guru masing-masing; ada yang belajar di masjid, di surau atau di rumah tuk guru. Salah seorang tuk guru terkenal di Ganchong Hulu ialah Maalim Derahim. Namanya Abdul Rahim. Salah seorang anak beliau ialah Salleh, seorang bekas pegawai Dara. Salleh ini bersekolah di Sekolah Arab al-Ihsan, Kuantan, dan kemudiannya melanjutkan pengajian ke Universiti Malaya. Kalau tidak salah, dialah satu-satunya pelajar sekolah agama yang melanjutkan pelajaran dalam bidang bukan agama di peringkat universiti. Belajar di rumah tuk guru khabarnya sakit sedikit kerana terpaksa mengangkat air dan mencari kayu api untuk keperluan tuk guru. Itu pun tak mengapalah kerana bukannya berat sangat: air diambil dari Sungai Pahang atau dari perigi, sedangkan kayu api bersepah-sepah di keliling rumah.

Sekolah pada masa itu ada peperiksaan tahun yang kami panggil Periksa Besar. Keputusan peperiksaan keluar dalam bentuk Sijil Pangkat I, II dan III. Siapa yang tak lulus tak dapat apa-apa, tetapi dibolehkan mengulang tahun hadapannya. Kerja mengulang inilah yang sakitnya! Sekolah Quran pun ada periksa juga, tetapi tidak diberi sijil, sebaliknya diberi hadiah yang bermacam-macam jenis. Saya pernah mendapat hadiah buku nota (hadiah ketiga) dan pisau lipat (hadiah kedua). Saya suka benar mendapat hadiah pisau lipat kerana memang telah lama saya idam-idamkan, hendak membeli sendiri tak ada duit.

Selain membersihkan kawasan sekolah, ’budak-budak besar’ yang saya katakan tadi juga dikehendaki berkebun. Macam-macamlah yang kami tanam: jagung, terung, mentimun, kacang sepat, kacang benguk, kangkung, keledek, bayam, kacang panjang, lada ... ah, sebut sahajalah!Kebun ini dibuat berpetak-petak dan setiap musim tanaman itu ditukar-tukarkan. Pada suatu musim saya menanam kacang botor. Suburnya bukan main, dengan daunnya yang merimbun-rimbun. Orang kata kacang saya mabuk daun. Kacang dalam keadaan begini kononnya hanya berbuah apabila kedengaran ombak di laut berbunyi. Hinggalah tiba cuti sekolah dan saya terpaksa bersunat, kawan-kawan mengatakan kacang botor saya tumbang dengan junjung-junjungnya sekali, berbuahnya tidak juga. Batang kacang dan junjung itu akhirnya dibakar untuk diganti dengan tanaman lain.

Sekitar 1948 dan 1949 murid-murid diberi minuman susu percuma. Untuk menyediakan minuman panas ini kami diminta secara bergilir-gilir memasak air. Untuk memasak itu, kami juga diminta membawa kayu api sedikit seorang. Apabila tiba ’separuh waktu’ kami dikehendaki membawa cawan atau gelas untuk mendapatkan susu masing-masing. Ada juga budak-budak yang tidak gemar minum susu.

Kesihatan murid-murid sekolah sentiasa dipantau oleh kakitangan Pejabat Kesihatan yang diketuai oleh seorang dreser atau jururawat yang kami panggil misi. Kalau musim air besar rombongan kesihatan itu boleh sampai ke sekolah tetapi jikalah air sungai cetek, bot mereka hanya sampai ke pangkalan Tuk Penghulu di Tanjung Batu. Kenalah kami berarak ke sana untuk diperiksa kesihatan dan diberi ubat. Biasanya penyakit yang menyerang murid-murid ialah cacing, kudis buta, batuk dan demam kura atau malaria. Kami tahu sangat jenis ubat yang bakal diterima: kalau cacing, minyak jarak; kalau kudis buta, belerang yang rupanya seakan-akan marjerin; kalau deman, kuinin. Saya tak tahan benar kalau kena minum kuinin dalam bentuk cecair. Ada juga orang berkutu kepala. Kadang-kadang ada di antara kami yang kena cucuk. Inilah yang paling ditakuti. Ubat kudis yang berbentuk marjerin itu dinasihatkan supaya dimasak dengan sedikit minyak tanah dan masa panas-panas itulah ditonyoh pada kudis buta atau kudis biasa.

Lawatan Sultan
Setahun sekali Sultan Abu Bakar melawat kampung. Ini sudah pasti. Di kampung kami jarang benar baginda bermalam, jadi tiadalah majlis malam yang berupa tari-menari. Keberangkatan Sultan memang ditunggu-tunggu. Pentas tempat baginda bertemu rakyat dihiasi indah secara tradisional, iaitu menggunakan bahan-bahan semula jadi yang berupa daun dan pelepah kelapa, pelupuh buluh, dan yang tidak boleh tidak daun reribu. Semasa majlis mengadap Tuanku mendengar permintaan dan keluhan rakyat. Masa itulah ada rakyat yang memohon Tuanku menjampi kemiyan. Ada dua kes besar yang disembahkan oleh orang kampung kami. Pertama kes PAK DE DERAMAN yang disembahkan oleh isterinya ARPAH binti MUSA. Pak De ini orang Temerloh dan berkahwin dengan orang kampung kami. Suatu ketika beliau berjanji dengan pihak berkuasa (saya tidak pasti sama ada polis ke, tentera ke, atau kerajaan) untuk memujuk MANAF bin SEWANG atau MANAF JEPUN anggota PKM yang bergerila di hutan Pahang kerana beliau mengaku Manaf kawannya sejak kecil. Beliau pun pergilah masuk hutan, entah di kawasan mana saya tidak tahu. Sejak itu khabar berita tentang Pak De tidaklah pernah didengari, sedangkan Manaf terus bergerila, yang akhirnya dia sendiri terbunuh. Arpah kemudiannya berkahwin dengan ABDUL AZIZ anak Tuk Penghulu Kassim yang menjadi SC dan kemudian menjadi salah seorang pegawai Felda Kampung Awah. Saya mendapat tahu ada anak mereka berkedai di Kampung Awah, tetapi saya tidak mengetahui namanya.

Kes kedua ini terkemudian sedikit jadinya. PAK CHIK LABOH yang nama sebenarnya AHMAD pergi menembak rusa di Nenasi. Nenasi memang kawasan banyak rusa pada masa itu. Yang pergi itu ada orang Ganchong dan ada juga orang Nenasi. Dalam berburu itu salah seorang daripada mereka tertembak seorang temannya orang Nenasi yang bernama SALEHUDDIN. Salehuddin meninggal di tempat kejadian. Senapang patah yang digunakan kepunyaan Pak Chik Laboh tetapi bukan dia yang menembaknya. Yang men(tert)embak, konon ceritanya anak saudara Pak Chik Laboh yang bernama ABU KASSIM, yang bukan sahaja tidak ada senapang, malah tidak pun mempunyai lesen menggunakan senapang. Pada mulanya kedua-dua belah pihak bersetuju untuk menyelesaikan hal itu tanpa dibawa ke ’meja hijau’. Tetapi janji mulut tidak tentu mudah ditepati, apatah lagi ini kes berkaitan dengan suatu kematian. Dalam statement polis Pak Chik Labohlah yang mengaku melepaskan peluru buckshot melalui laras senapangnya, demi menyelamatkan anak saudaranya menghadapi tuduhan berlapis-lapis. Pak Chik Laboh ditahan dan perbicaraan mengambil masa yang agak lama. Emak Pak Chik Laboh menggunakan keberangkatan Sultan memohon supaya anak lelaki tunggalnya itu diampunkan. Permohonan orang tua ibu tunggal itu diiringi dengan ratap tangis sehingga ramai orang di kiri-kanannya turut mengesat air mata. Mungkin Sultan pun hendak menangis juga, tapi segan di khalayak ramai.

Pak Cik Laboh kemudiannya dibebaskan dari sebarang hukuman dan bekerja semula sebagai pemandu bot wayang gambar Pejabat Penerangan dan kemudiannya dipindahkan ke Jerantut.

Keberangkatan Sultan ke kampung-kampung sangat ditunggu-tunggu oleh murid-murid (dan guru-guru pun begitu juga gamaknya). Murid-murid dikehendaki berbaris dengan pakaian yang kemas, cantik dan bersih. Bila Sultan lalu, kami mengangkat sembah dan berkata 'Daulat Tuanku!' Sultan biasanya bertanya menggunakan dua perkataan sahaja, ”Apa khabar?” Kadang-kadang tidak sempat dijawab kerana baginda telah bertanya orang lain. Kalau tidak mengenakan baju Melayu, Sultan cuma memakai baju kemeja T, seluar pendek, bersetokin panjang dan memakai topi. Seluar pendek Sultan itu, kalau kami murid-murid yang memakainya mahu menjadi kain selimut, kerana tubuh badan Sultan Abu Bakar sangat besar dan gagah kelihatannya. Tongka seluar pendeknya terletak di bawah dada baginda dan seluar itu hingga ke bawah lutut. Baginda sentiasa tersenyum dan tidak pernah murka. Selalunya guru besar membawa Buku Perharian Sekolah untuk ditandatangani oleh Sultan. Kalau baginda melawat Ganchong, kadang-kadang guru sekolah Pulau Rusa dan Aceh, malah Pahang Tua turut membawa Buku Perharian sekolah masing-masing. Gunanya dibawa buku tersebut ialah untuk Tuanku mencatatkan baginda melawat sekolah dan memberi sekolah cuti sehari keesokan harinya. Baginda tidak pernah bertanya mengapa guru besar yang sekolahnya agak jauh daripada tempat sambutan dan yang murid-murid mereka tidak kena-mengena dengan peristiwa itu turut memohon cuti. Itulah keistimewaan baginda.

Catatan baginda di dalam Buku Perharian Sekolah biasanya sama belaka, baik baginda melawat sekolah di Ganchong, Pulau Tawar, Padang Tengku atau Bukit Mat Daling. Bunyinya begini:

14.9.52. Telah melawat sekolah hari ini dapati kedatangan murid 150 daripada 162 orang rumah sekolah baik dan bersih. Sekolah di-tutop satu hari pada 15.9.52

t.t.
Sultan Pahang


[Diturunkan semula di sini daripada Buku Perharian Sekolah Melayu Serandu, Pekan]

Tuanku Sultan menulis di dalam Buku Perharian Sekolah dengan tulisan rumi, tetapi kadang-kadang baginda ada menulis dengan tulisan jawi, namun perkataan yang ditulisnya tetap sama.

Kehadiran rakyat semasa keberangkatan Tuanku amat luar biasa. Semua orang kampung keluar menyambut baginda. Semasa majlis mengadap bukan semua yang dataang untuk memohon sesuatu tetapi mereka datang membawa buah tanngan untuk raja mereka yang disayangi itu. Hal begini pernah saya menyaksikannya sendiri semasa mengajar di Jerantut dan Padang Tengku. Di Jerantut ada seorang orang tua menyembah mengatakan dia telah lama sangat batuk dan tidak baik-baik. Dia memohon Tuanku tolong menjampinya dan menjampi air tawar di dalam botol yang dibawanya. Seorang lain yang datang dari Kampung Pagi membawa minyak sapi yang dibuatnya sendiri untuk dipersembahkan kepada baginda. Di Padang Tengku saya nampak seorang lelaki yang berumur kira-kira 80 tahun membawa madu lebah di dalam beberapa botol kaca bertutup sabut untuk Tuanku. Suami ibu saudara saya (Taib bin Abdullah)pernah menyimpan duriannya yang paling besar untuk dibawa ke Pekan menyembahkan bagi santapan Tuanku dengan mengayuh basikal king sizenya. Tuanku mengurniakan beliau $40.00 untuk penat lelahnya itu. Seorang teman saya Dato’ MOHD. MOKHTAR bin ABU BAKAR yang tinggal di Pancor Pekan memberitahu saya semasa musim rambutan, di sekeliling rumahnya banyak pokok rambutan berbuah. Adik-beradiknya dilarang memetik rambutan sehinggalah bapanya memastikan rambutan cukup masak dan memetik untuk dipersembahkan kepada Tuanku. Selepas itu baharulah anak-anaknya dibenarkan memakan rambutan.

Keberangkatan Tuanku ke kampung-kampung di sebelah ulu biasanya menyebabkan baginda bermalam; kalau tidak di Rest House, rumah Pegawai Daerah atau bermalam di dalam house-boat yang kami panggil kenaikan. Dalam keadaan yang demikian biasanya dalam rombongan baginda itu turut serta anak-anak joget. Hiburan berjoget dijalankan selepas majlis makan malam. Sesiapa sahaja boleh berjoget tanpa dikenakan sebarang bayaran. Setelah malam semakin ke penghujungnya tarian joget bertukar menjadi dansing pulak. Majlis lewat malam itu biasanya khas untuk Tuanku dan pembesar-pembesar yang mengiringi baginda sahaja. Tok Bijaya (Tuan SAIYID AHMAD bin SAIYID ABDULLAH AL-HABSYI) selalu menyanyi lagu Enjit-enjit Semut semasa Tuanku berjoget. Ada orang kata lagu itu Tok Bijayalah yang menciptanya. Ada sebuah lagi lagu joget yang popular dinyanyikan dalam majlis yang dihadiri oleh Sultan, iaitu Joget Kapal Terbang, yang katanya digubah oleh seorang Orang Asli. [Dato' Sri MOHD. KHALIL YAAKUB semasa menjadi Menteri Besar Pahang suka dan kerap menyanyikan lagi Joget Kapal Terbang ini. Seorang lagi yang sedap menyanyi lagu ini ialah DOL, seorang pekerja SM Tengku Abdullah Pekan yang menjadi ahli pasukan muzik asli Muzium Pakan]. Saya berkawan baik dengan salah seorang cucu Tok Bijaya yang bernama SAIYID ABDUL RAHMAN bin SAIYID ISHAK; tetapi beliau tidak pandai menyanyi lagu Enjit-enjit Semut dan saya tidak pernah melihat dia menari joget. Kuah tidak semestinya tumpah ke nasi; ada yang tumpah ke bawah rumah dan ada pula yang dihirup kucing!

Tidak kena jika saya tidak menceritakan kisah saya berkhatan. Biasanya jarang orang berkhatan seorang, kalau boleh kena cari beberapa orang. Kebetulan ada dua orang kawan kira-kira sama umur dengan saya ingin berkhatan sama. Seorang bernama MD. YUNAN bin DAUD dan seorang lagi RAMLI bin TALIB. Md Yunan anak yatim piatu dan masih ada hubungan kekeluargaan dengan kami. RAMLI anak yatim, ibunya telah lama meninggal dan dia dipelihara oleh ayah serta kakaknya yang telah pun bersuami. Beberapa bulan sebelum Md. Yunan berkhatan dia mengail ikan potak, tanpa disengaja mata kailnya tersangkut pada lengan kiri dan menusuk daging lengannya. Tidak siapa yang berani menanggalkan mata kail itu. Dia terpaksalah membawa mata kail di lengannya ke hulu ke hilir, termasuk tidur baring dan pergi ke sekolah sehingga bahagian yang kena mata kail itu menanah. Lekatlah namanya 'Mat Yunan Potak'. Mata kail di lengannya hanya boleh ditanggalkan setelah rombongan perubatan datang ke sekolah. Mudah sahaja dibuatnya: bahagian mata kail yang berwit itu ditekan ke luar kemudian dipotong dengan ragum. Buntut mata kail itu senang sahaja menanggalnya. Md. Yunan tentulah sakit menahannya. Tak lama selepas itu kena sunat pula.

Pengalaman bersunat tidak banyak yang hendak saya katakan. Sama seperti kebanyakan budak lelaki yang lain. Yang saya tak tahannya ialah ketika tanggal pundang. Berjam-jam benda itu berendam, susah nak tanggal pembalutnya. Pada saat kritikal itu Encik memanggil pasukan dikir bebana. Dalam sayup-sayup suara pedikir yang mendayu-dayu itu, akhirnya proses tanggal pundang itu selesai. Saya masih ingat, alat memudahkan tanggal pundang ialah air panas suam-suam kuku yang dimasukkan daun nyenyarum di dalamnya. Kemudian kami dikehendaki mencolek bekas luka itu dengan hujung bulu ayam. Semuanya ini dikerjakan secara perlahan-lahan.

Saya bersunat semasa dalam Darjah Empat. Lepas bersunat memang rasa lega benar. Suatu petang kami mandi di sungai dan terjun ala tarzan daripada sebatang pokok yang condong menghala ke air. [Nota: semua yang mandi petang itu telanjang bogel, kerana hanya orang dewasa sahaja yang menggunakan kain basahan ketika mandi di sungai; itu pun, meling-meling ada juga yang ingkar]. Saya terjun sekali dua sahaja, tetapi Md. Yunan menunjukkan terornya bukan main petang itu. Malam itu khabarnya anunya berasa panaa, merah dan membengkak. Keesokann harinya saya sempat diberikan kebenaran melihat benda yang merah membengkak itu. Mujurlah keadaan ini cuma untuk beberapa hari sahaja, selepas itu kembali seperti sediakala.

Persahabatan saya dengan Md. Yunan semakin erat selepas bersunat. Kami bersama-sama memikat burung ciak tidak berapa jauh dari rumahnya yang telah lama ditinggalkan, iaitu sejak kematian ayah dan ibunya dahulu. Hari itu kami dapat beberapa ekor burung ciak. Menunggukan cebak mengena, kami cuba-cuba memanjat kelapa. Saya yang belum pernah memanjat kelapa ini tiba-tiba hari itu mampu naik ke pucuk kelapa. Setelah menurunkan beberapa biji kelapa muda, saya cuba untuk turun. Saya mula merasakan kesukaran untuk turun itu. Cuba punya cuba, tangan saya terlepas dari pegangan dan jatuh ke atas atap dapur rumah Md. Yunan, terus jatuh ke tanah. Saya pingsan. Apabila sedar, kami bermesyuarat dan bersepakat untuk tidak memberitahu keluarga saya tentang kejadian itu.

Malam itu saya mengerang. Demam dan sakit. Sebabnya orang lain tak tahu. Selepas dua hari merana itu Md. Yunan memecahkan tembelang kami dengan memberitahu Emak dan keluarga kejadian sebenar. Rupa-rupanya dalam hal berjanji, kalaulah tidak ada surat perjanjian hitam-putih dan bermati setem memang tak boleh diharap! Saya terpaksa menahan malu kena marah dan pada masa yang sama menahan sakit. Emak membawa saya malam-malam ke rumah Mokda Dayang dan kemudian ke rumah Makcik Chik (kedua-duanya emak saudara saya, yang satu sebelah Encik dan yang satu lagi sebelah Emak). Untunglah saya tidak patah, cuma sakit-sakit memar begitu sahaja. Beberapa hari saya tidak bersekolah. Abang Othman tak berapa boleh sangat marahkan saya kerana beberapa tahun sebelumnya dia sendiri mengalami peristiwa seakan-akan yang saya alami, hanya bezanya dia dengan kawan-kawannya bermain kayu canggung, iaitu kayu yang tumbang tetapi bahagian hujungnya terjungkit. Di situlah mereka menghenjut dan menadpat kenikmatan daripada turun-naiknya kayu itu. Dalam pada itu kayu yang dihenjut patah dan peha abang ditikam kayu yang menanti

Kalau berpeluang diajak pergi ke Pekan tak bolehlah digambarkan kegembiraannya. Biasanya kami pergi ke Pekan untuk menjual getah. Sebelah petang sebelum bertolak getah keping telah disusun dan diikat kemas dengan pengikat rotan sega atau rotan tawar berbelah empat. Kalau banyak getahnya Encik akan meminta seseorang untuk tolong menghantar ke pengkalan atau ke motor. Biasanya Encik berjanji lebih dahulu dengan tuan motor supaya singgah di pengkalan tempat kami menunggu pagi-pagi esok. Kalau tidak motor Mat Gajah, motor Abu Kassim, motor Awang Kassim, motor Jusoh Othman Coteng, motor Atah atau motor Awang Ali. Dulu Tok Mukim Sulaiman ada juga membawa motor, tetapi dia telah berhenti kerana selalu menghidap asma atau lelah. Tambang motorbot ke Pekan 50 sen sahaja. Budak-budak 20 sen. Setibanya motor di Pekan berebut-rebut kuli kedai Gek Seng mengangkat getah. Kemudian kami ikut naik dan melihat mereka menimbang getah dan membayar harganya. Sebelum itu, kami kerap dibeli air batu kepal atau air sirap biji selesih yang dijual oleh mamak di tepi tebing sungai Pahang, dekat tempat motor kami berlabuh. Setelah siap baharulah kami berjalan-jalan dan membeli-belah. Biasanya kami singgah minum dulu di kedai makan yang kami panggil pencaus. Kemudianlah baharu saya tahu bahawa pencaus itu sebutan Melayu bagi perkataan Inggeris pant-huose. Motor biasanya mudik kira-kira pukul 2.30 petang, iaitu setelah nelayan sampai dari laut dan menjual ikan di pasar. Ikan yang dijual semuanya fresh belaka, tak ada yang kena air batu sebagaimana sekarang. Setelah siap membeli ikan kami kembali ke motor untuk bersiap mudik. Satu benda yang Emak jarang-jarang tidak membelinya ialah kari dari kedai keling (kari mamak); sama ada kari ikan mahupun kari daging. Kari itu dimasukkan ke dalam tin susu yang telah dibersihkan dan diberi bertali untuk tempat menjinjing pada penutup tin itu. Kari ini sedap dan luar biasa rasanya pada lidah kami, dan menjadi lebih luar biasa ketika dimakan di kampung nanti.

Khidmat motorbot ke Pekan diusahakan oleh beberapa orang. Mula-mula yang ada motor ialah Othman Choteng, iaitu seorang mualaf Cina. Ada juga yang menyebut beliau sebagai 'Othman Buaya'. Beliau tinggal di Belatong, iaitu di bahagian sebelah hilir Tanjung Medang. Dia mempunyai kemahiran dalam hal mekanik. Kerosakan enjin motornya dibaiki sendiri. Dua orang anaknya Ibrahim (dipanggil Berahim Pomen) dan Jusoh turut menjalankan perkhidmat ini, secara bergilir-gilir.

Di Ganchong sendiri ada Mat Gajah yang tinggal di Ganchong Ulu. Motorbot Mat Gajah kemudian dibawa oleh anaknya Mat Nor. Abu Kassim juga pernah membawa motorbot Mat Gajah. Sebuah lagi motor yang baru dan selesa dengan enjin Yanmar bernama Sinaran adalah kepunyaan Kassim bin Abdul Rahman, anak Pak Chik Aman yang tinggal dekat sekolah. Motor inilah yang paling diminati dan ramai pelanggannya kerana selain daripada budi bahasa dan tutut kata 'Awang' Kassim sangat baik dan mesra; tambangnya pun tak berkira sangat. Beliau masih muda dan belum berumahtangga. Awang Kassim dibantu oleh Roslan menjalankan motorbotnya ini. Suatu hari, ketika hendak disinggahkan di Tanjung Medang, motornya terlajak. Awang Kassim meluru menahan motornya, takut rosak terlanggar tebing. Motor yang mempunyai kekuatan kuda enjin baru itu tidak mudah dikawal dengan tenaga manusia biasa, lalu melanggar bahagian badannya. Beliau parah, dan pada masa itu beliau muntah 'tahi gagak'. Beberapa hari kemudian Awang Kassim meninggal dunia dan motorbot baru itu entah siapa yang membelinya.

Atah orang Tanjung Medang dan motorbotnya terbesar saiznya bernama Penadah, yang bunyi enjinnya sangat kuat tetapi lajunya tidaklah seberapa. OTHMAN bin Haji MUHAMMAD (Awang Pisang atau Awang Borek) yang tinggal di Permatang Lanjut mempunyai kebolehan dalam hal mekanik juga pernah membawa motorbot. Awang Ali yang tinggal di Teluk juga merupakan pengusaha perkhidmatan motorbot ke Pekan.

Ada juga motorbot yang kawasan perkhidmatannya dari Pekan sampai ke Lubuk Paku, Chenor hingga ke Temerloh, tetapi tidaklah setiap hari. Salah satunya ialah kepunyaan Mak Chik Amah. Beliau satu-satunya pengusaha motorbot wanita di kawasan ini. Beliau sendiri yang menjalankan enjin dan memandu motornya itu. Khabarnya Mak Chik Amah ini emak kepada MANAF JEPUN anggota Rejimen Ke-10 PKM yang berpusat di Pahang yang disebutkan di atas tadi. Yang seronoknya menaiki motor Mak Chik Amah ini ialah adanya hidangan makanan tengah hari. Setelah bertolak dari Pekan, sebaik-baik sahaja sampai di kawasan Benta, Makcik Amah mulalah menanak nasi dan menjerang sayur lemak labu serta menggoreng ikan masin. Hidangan ini sangat menyelerakan. Sampainya motorbot iyu di Pulau Rusa makanan mula dihidang. Air minum air sungai itulah, atau kadang-kadang air kopi o. Mak Chik Amah tidak mengenakan sebarang bayaran tambahan untuk hidangan tengah hari itu. Budak-budak muda berkata, laju makan dalam motor Mak Chik Amah, kalau selera tak laju, motor itu sendiri sudah tentu lajunya.

Semasa di Pekanlah kami berpeluang melihat macam-macam benda luar biasa yang tidak terdapat di kampung kami: polis, motokar, lori, stemrol, kereta lembu, teksi (beca roda tiga) dan beca. Kadang-kadang kami berpeluang melihat pekerja-pekerja PWD menggolek tong minyak tar di tengah-tengah bandar Pekan itu untuk dibawanya entah ke mana. Kalau nasib baik mungkin kami terserempak dengan Sultan Pahang (Sultan Abu Bakar) atau Tuanku Ampuan Fatimah yang menaiki kereta besar bertulis H.H.PA yang kemudiannya diganti kepada H.H.Sultan Pahang dengan bendera peribadi baginda berkibar megah di bahagian hadapan kereta itu.

Kalau ke Pekan ketika hampir hari raya, kami mesti dibeli songkok dari kedai Haji Mohd. Jamil, salah sebuah kedai orang Kampar di Pekan. Saya menaruh perhatian yang khas kepada Tuan Haji Jamil ini tentang pakaiannya. Beliau memakai ketayap putih, berbaju panas T putih yang terbuka dan berbutang pada bahagian dada, berkain pelikat yang diikat dengan tali pinggang kain bersaiz lebar berwarna hijau tua sebagaimana tali pinggang yang dipakai oleh bakal haji sekarang. Saya tidak pernah melihat Tuan Haji Jamil berpakaian selain daripada yang saya katakan itu tadi. Selain songkok, Haji Jamil juga menjual kain pelikat cap gajah, kain batik jawa, kopiah, bedak sejuk Zarado, Minyak Geliga, tasbih, kitab agama dan al-Quran. Kalau membeli al-Quran biasanya tidak boleh ditawar, takut nanti ilmu yang dipelajari menjadi 'tawar'; sedangkan barang-barang lain boleh ditawar-menawar.

Kalau semasa hilir ke Pekan kami melalui Pekan Seberang (Peramu dan Pulau Jawa sekarang) untuk menurunkan penumpang ke Kuantan menaiki bas Bee Huat; dan masuk ke Pekan melalui Pulai Enjin. Semasa balik kami melalui Sungai Mat Dulang, iaitu dari bandar Pekan melalui hadapan Rumah Pasung, Istana Kota Beram, Sungai Parit yang selalu hitam airnya itu, Masjid Abdullah, Pejabat Agama Islam Pahang yang sebahagian daripada bangunannya dibina di dalam sungai, melintasi beberapa rumah keluarga raja dan kawasan perkampungan serta pondok pelajar agama di Kampung Mengkasar terus ke Sungai Mat Dulang dan mudik ke Pulau Keladi, Belatung, Tanjung Medang, menyeberang ke Pahang Tua ke tempat yang Pak Zek panggil Air Berbagi langsung ke Teluk, Pulau Rusa, Tanjung Batu dan sampailah ke Ganchong. Biasanya kami sampai ke rumah kira-kira pukul 6.30 petang, tetapi jikalau air surut perjalanan itu menjadi lebih panjang yang mungkin menjangkau ke pukul 9.00 atau 10.00 malam.

Salah satu peristiwa yang menarik dalam kehidupan kampung ialah ketika orang menyembelih kerbau atau lembu. Ramai orang kampung kami tak berapa suka makan daging lembu, kerana kononnya bisa; jadi kerbaulah menjadi pilihan. Menyembelih kerbau ini bukannya kerap sangat. Biasanya apabila tiba musim hari raya, menyambut puasa atau ada kerbau yang luka dan seumpamanya. Ada dua sistem menyembelih, iaitu secara pelupuh dan syer. Kalau pelupuh kerbau atau lembu itu disembelih dan daging, tulang serta perkakas dalamnya dijual secara terbuka. Cara ini jarang-jarang dilakukan. Yang lebih kerap ialah cara syer: seseorang yang mengepalai penyembelihan ini menemui seorang demi seorang bertanya sesiapa yang berminat masuk syer. Harganya $10.00 sahaja satu syer. Setelah kerbau atau lembu disembelih, dagingnya dibahagi-bahagikan mengikut bilangan syer. Kemudian ditolak daging gemusir dan daging leher serta sedikit hati dan jantung untuk diberikan kepada Tuk Penghulu dan tukang sembelih. Bahagian yang tersisa: kepala, tulang rusuk, perkakas dalam, perut besar, perut kecil, limpa (kami panggil kura), peparu, tulang kaki, tulang sena dan sebagainya semua dilelong. Dapatan hasil lelong ini dimasukkan ke dalam kira-kira dan ditolak pada harga syer. Ini bermakna syer $10.00 tadi tidak sampai sebanyak itu: mungkin $6.00 atau $5.00 sahaja, terpulang kepada kepandaian tukang lelong. Di kampung saya yang pandai benar melelong ialah Ayah Ngah AWANG NGAH. Kalau dia melelong memang tak rugi punya. Satu lagi kepandaiannya ialah mengegak berat kerbau atau lembu dan berapa pikul daging boleh didapati selepas dilapah. Telahannya sentiasa tepat atau hampir-hampir tepat. Orang lain yang pandai semacam Awang Ngah ialah ALI MUALAF (salah seorang Cina mualaf di kampung kami yang berkahwin dengan orang Tanjung Batu) dan JENAL MINANGKABAU yang tinggal di Lamir. Orang yang berdua ini jarang terlibat dengan kerja penyembelihan di kampung kami.

Dalam tahun 1952 murid sekolah kami semakin bertambah. Orang-orang kampung bermuafakat untuk membina sekolah tambahan. Ketika itu orang-orang kampung meramu kayu di hutan. Mereka mencari kayu bulat dan kemudiannya mendapatkan papan. Maka tidak berapa lama terdirilah sebuah sekolah yang boleh memuat empat buah kelas. Bangunan ini dibina di bahagian sebelah darat sekolah asal. Lantai bangunan ini adalah lantai tanah yang dimampatkan dengan cangkul. Tidak lama kemudian kemampatan tanah itu bertambah elok kerana dipijak oleh murid-murid dan guru-guru. Saya adalah salah seorang yang memijaknya. Saya sempat bersekolah di bangunan baru ini beberapa bulan sebelum saya berpindah ke Kuantan untuk menyambung pengajian dalam Darjah Tujuh. Dengan perpindahan ini selesaikan cerita saya bersekolah di SM Ganchong. Saya kembali semula ke sekolah ini tahun 1962 tetapi kali ini sebagai seorang guru yang terlatih di SITC pula.

Pahang ada empat buah sekolah sahaja yang ada Darjah Tujuh, iaitu Pekan, Kuantan, Temerloh, dan Lipis.

No comments: